Pensijilan halal JAKIM di Malaysia telah lama menjadi topik penting, terutama dalam konteks pemakanan dan perniagaan.
Baru-baru ini, perdebatan mengenai pelaksanaan wajib pensijilan halal untuk premis makanan telah menjadi isu yang menarik perhatian di peringkat nasional dan negeri, khususnya di Kelantan.
Kerajaan Pusat memilih untuk mengekalkan polisi bahawa pensijilan halal adalah tidak wajib, sebaliknya memberikan inisiatif kepada premis yang memilih untuk mendapatkannya.
Namun, Kelantan telah mengambil langkah lebih tegas dengan mewajibkan sijil halal bagi kategori tertentu premis makanan untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Langkah ini membawa kepada pelbagai pandangan, reaksi, dan cabaran dalam pelaksanaannya.
Pendekatan Kerajaan Negeri Kelantan – Sijil Halal JAKIM
Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menetapkan bahawa pensijilan halal adalah syarat wajib untuk memperbaharui lesen perniagaan bagi tujuh kategori premis makanan:
- Dapur hotel
- Premis di lapangan terbang
- Kedai di pusat membeli-belah
- Kopitiam
- Restoran rangkaian dan makanan segera
- Kedai kek dan roti
- Kilang pembuatan makanan
Pensijilan ini turut dikenakan ke atas premis milik bukan Islam sekiranya mereka menyediakan makanan untuk pelanggan Muslim.
Namun, ia tidak terpakai untuk premis yang hanya melayani pelanggan bukan Muslim.
Persijilan halal juga disyaratkan bagi premis milik bukan Islam yang menerima pelanggan Islam untuk mendapatkan Lesen Kekal Perniagaan.
Hilmi Abdullah
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempataan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan.
Sumber: Astro Awani
Teguran dan Cabaran Pelaksanaan
Kritikan daripada Pengusaha Tempatan:
Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (PERMEKA) menyatakan bahawa keputusan ini membebankan peniaga kecil, memandangkan proses permohonan sijil halal memerlukan masa, kos yang tinggi, dan pematuhan kepada piawaian yang ketat.
Mereka juga memohon kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaannya.
“Perkara ini hanya diketahui baru-baru ini selepas ada dalam kalangan kami mahu memperbaharui lesen perniagaan sebelum dimaklumkan perlu memohon sijil halal bagi mendapatkan lesen berkenaan.
“Ternyata keputusan mengejut ini membebankan kami kerana urusan untuk permohonan sijil halal bukannya mudah dan mengambil masa.
Sumber: Tangguh Wajibkan sijil halal perbaharui lesen peremis – Berita Harian
Perspektif Perundangan:
Seorang peguam, A. Srimurugan, berhujah bahawa langkah mewajibkan sijil halal ini mungkin melanggar hak Perlembagaan untuk mencari rezeki. Beliau menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan subsidi atau pengurangan kos untuk perniagaan kecil bagi mematuhi peraturan.
Pensijilan halal harus menjadi pilihan bagi mana-mana orang yang membuka perniagaan,”
“Tetapi apabila anda memaksa pemilik perniagaan untuk mendapatkan pensijilan halal, ini melanggar hak mereka untuk menjalankan perniagaan yang merupakan sebahagian daripada hak mereka untuk mencari rezeki,”
Peguam A Srimurugan
“Jika ia digunakan untuk setiap perniagaan, itu adalah menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan tidak Islamik,”
Peguam Haniff Khatri Abdulla
Undang-undang kecil tempatan yang dibuat di bawah kuasa negeri masih tertakluk kepada kekangan Perlembagaan.
Pakar undang-undang perlembagaan Philip Koh
Penjelasan Kerajaan Kelantan:
Exco negeri, Mohd Asri Mat Daud, menegaskan bahawa pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dengan memberi masa dan panduan kepada pengusaha premis.
Beliau juga menjelaskan bahawa premis bukan Islam yang menyediakan makanan tidak halal seperti bak kut teh tetap dibenarkan beroperasi tanpa sijil halal selagi ia hanya untuk pelanggan bukan Muslim.
“Ia dijalankan secara berperingkat kerana setakat ini hanya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkannya. Sijil halal hanya tertumpu di premis makanan dan minuman di bawah MPKB-BRI sahaja.”
“Pengesahan halal adalah suatu pendidikan kepada rakyat untuk lebih menjaga kualiti makanan,”
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan Mohd Asri Mat Daud
Sumber: Sijil halal tidak dilakukan terburu-buru, usaha didik rakyat – EXCO Kelantan – HMETRO
Pendekatan Kerajaan Pusat
Kerajaan Pusat pula mengekalkan polisi bahawa pensijilan halal adalah secara sukarela.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan bahawa dasar ini telah diterapkan sejak 1974, dan ia bertujuan memberikan fleksibiliti kepada peniaga.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyatakan kebimbangan bahawa tindakan Kelantan mungkin bertentangan dengan bidang kuasa JAKIM dan prinsip Kerajaan Pusat.
Pandangan dan Implikasi
Kualiti dan Kesedaran Halal:
Kerajaan Kelantan berpendapat bahawa pensijilan halal akan mendidik rakyat untuk lebih peka terhadap kualiti dan kebersihan makanan, selain meningkatkan reputasi premis di kalangan pelanggan Muslim.
Bebanan Kewangan kepada Peniaga Kecil:
Sebaliknya, bagi peniaga kecil, langkah ini dilihat sebagai halangan besar, terutama dengan kos operasi yang sudah meningkat akibat kenaikan harga barangan.
Isu Kesamarataan dan Pilihan:
Terdapat juga hujah bahawa pelanggan Muslim mempunyai tanggungjawab untuk memastikan makanan yang mereka makan adalah halal tanpa perlu kerajaan memaksa semua premis untuk mendapatkan sijil halal.
Kesimpulan
Isu pensijilan halal di Kelantan mencerminkan pertembungan antara aspirasi untuk menegakkan prinsip Islam dengan cabaran praktikal yang dihadapi oleh peniaga.
Walaupun ia bertujuan baik untuk memastikan kualiti makanan dan mematuhi syariah, pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan menyokong, terutama bagi perniagaan kecil.
Kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan pusat, dan komuniti perniagaan adalah penting untuk mencapai penyelesaian yang adil dan praktikal, memastikan pensijilan halal menjadi satu peluang, bukan beban.
Sebagai langkah permulaan, pengusaha produk halal boleh ikuti Kursus Kesedaran Halal atau dikenali sebagai Halal Awareness Training untuk mendapatkan info awal kearah pensijilan halal.