Pengenalan
Sebagai pesakit dan pengguna Muslim, kita berhak menuntut ubat dan suplemen yang halal. Ia bukan sekadar pilihan, tetapi tanggungjawab agama kerana apa yang masuk ke dalam tubuh akan mempengaruhi keberkatan kehidupan.
JIKA kita mencari makanan dan minuman yang halal, begitulah sepatutnya dibuat apabila ia melibatkan ubat-ubatan.
Ini kerana ia juga masuk ke dalam tubuh dan menjadi darah daging kita.
Apalagi andai kita memilih produk suplemen memandangkan ia merupakan makanan tambahan untuk melengkapkan gizi badan seseorang.

Mengapa Status Halal Ubat & Suplemen Penting?
Lantaran itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Profesor Amrahi Buang menggesa masyarakat untuk menggunakan hak pengguna sepenuhnya dalam pemilihan ubat-ubatan dan suplemen halal.

Baik ke hospital, klinik mahupun farmasi, kita kena tanya dulu halal atau tidak ubat-ubatan (yang disarankan oleh pakar) kerana ia satu keperluan sebagai ikhtiar untuk sembuh daripada kesakitan dengan izin ALLAH SWT.
Itu soalan pertama perlu dilontarkan oleh kita sebagai pesakit, orang awam, seorang Muslim dan pengguna kerana ia adalah hak kita yang menjadi tanggungjawab masing-masing. Perkara itu perlu ditekankan.
Doktor, ahli farmasi dan seumpamanya bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan lanjut serta memaklumkan alternatif lain bila mereka ditanyakan oleh pesakit atau orang ramai sekiranya ubat yang disyorkan itu tidak halal, katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di ibu negara baru-baru ini.
Artikel Berkaitan:
1 – Paradigma Baharu: Dari “Asal Boleh” Kepada “Pasti Halal”
Amrahi menambah, ada sebab mengapa ALLAH SWT menimpakan kesakitan dan menarik nikmat kesihatan seseorang iaitu kerana dosa dilakukan ataupun ia merupakan ujian buat hamba-NYA.
Apa jua alasannya, beliau yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang farmaseutikal menegaskan agar kita tetap mencari penawar halal.
Dulu apabila sakit, orang berpandangan, semua ubat boleh diambil walaupun tidak halal. Mengertilah, itu adalah paradigma yang lama.
Dalam paradigma baharu, soalan pertama patut ditanyakan ialah ‘ubat ini halal atau tidak?‘ atau ‘suplemen ini ada sijil halal atau tidak?’ tegasnya.
Bagaimana Permintaan Pengguna Mempengaruhi Pasaran?
Begitu signifikannya pertanyaan tentang status halal pada ubat-ubatan dan suplemen itu kerana ia sebenarnya sangat berkait rapat dengan pola permintaan di pasaran.
1 – Teori Permintaan & Penawaran Dalam Industri Halal
Secara teorinya, Amrahi menjelaskan, jika tiada permintaan terhadap ubat-ubatan dan suplemen halal, maka tiadalah penawaran produk berkenaan.

Masakan tidak, katanya, industri wujud disebabkan oleh pengguna dan permintaan daripada mereka.
Andai ada permintaan, semakin banyak pengeluar akan berlumba-lumba untuk mendapatkan persijilan halal bagi produk farmaseutikal dan kita akan mempunyai alternatif untuk buat pilihan, ungkapnya.
2 – Halal Untuk Semua: Bukan Eksklusif Muslim Sahaja
Apatah lagi halal tidak melibatkan umat Islam sahaja, tetapi semua orang kerana ia bukan semata-mata halal dari sudut syariahnya, tetapi produk itu juga tayyib iaitu selamat, berkesan dan terjamin dari segi kualitinya.
Ini kerana mana-mana produk farmaseutikal termasuk ubat-ubatan dan suplemen perlu didaftarkan di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang sudah diteliti tiga elemen tadi iaitu kualiti, keselamatan dan keberkesanan, di samping mempunyai nombor rujukan untuk memudahkan pengguna menyemaknya.
Pada masa sama juga perlu memenuhi beberapa piawaian seperti Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) sebelum membuat permohonan sijil halal, terangnya.
Bagaimana Cara Semak Status Halal Ubat & Suplemen?
Sekalipun terdapat segelintir pengeluar mendakwa produk farmaseutikal mereka menggunakan bahan atau tumbuhan semula jadi, kemudian beralasan tidak memerlukan persijilan halal, Amrahi mengingatkan agar kita menyelidikinya terlebih dahulu.
1 – Tanya Ahli Farmasi & Pakar Perubatan
Mantan Timbalan Pengarah Ikhtisas Pusat Perubatan Universiti Malaya itu menggesa masyarakat untuk terus bertanyakan kepada ahli farmasi atau pakar perubatan.

Mereka boleh semak semula kandungannya jika ubat atau suplemen itu didaftarkan.
Kita juga boleh buat carian sendiri tentang maklumat syarikat yang mengeluarkan produk itu, selain menyemak status halalnya menerusi aplikasi Verify Halal yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tuturnya.
2 – Gunakan Aplikasi Verify Halal Jakim
Langkah Praktikal Semak Halal Ubat:
- Cari logo halal Jakim pada pembungkusan
- Muat turun aplikasi Verify Halal (rasmi Jakim)
- Imbas kod QR atau taip nama produk
- Semak nombor pendaftaran NPRA
- Rujuk ahli farmasi jika ragu-ragu
Apakah Prinsip Pengubatan Dalam Islam?
Mengulas tentang kurangnya kesedaran orang ramai dalam mendapatkan ubat-ubatan dan suplemen halal, Amrahi berpandangan, usaha itu perlu dipergiatkan kepada orang ramai terutamanya menerusi media.
Apatah lagi pihak industri tertakluk kepada Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 (Disemak 1983) dan Peraturan-Peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976.
Bagi saya, perkara ini sudah menjadi fardu ain, bukan fardu kifayah lagi kerana ia penting untuk seluruh masyarakat.
Justeru, pentingnya orang ramai diberi kesedaran dan tekanan tentang hak mereka untuk mendapatkan ubat mahupun suplemen halal, katanya.

5 Prinsip Utama Pengubatan Islam
1. Kuasa penyembuh bagi suatu penyakit itu adalah kekuasaan ALLAH SWT.
2. Kita dikehendaki berikhtiar untuk berubat.
3. Cara yang digunakan mestilah tidak bertentangan dengan prinsip Islam seperti guna ilmu hitam atau kaedah lain yang ditegah ALLAH.
4. Bahan-bahan ubat-ubatan mesti sesuai dengan Islam seperti suci, tidak bernajis atau dari najis kecuali dalam keadaan terpaksa.
5. Menjaga diri daripada terkena penyakit adalah lebih baik daripada mengubat.
Ciri-Ciri Ubat Halal Yang Perlu Dipatuhi
(a) Bukan terdiri atau mengandungi bahan daripada haiwan yang dilarang untuk umat Islam menggunakannya, memakannya atau tidak disembelih mengikut syarak.
(b) Tidak mengandungi bahan yang dihukumkan sebagai najis mengikut hukum syarak. (c) Tidak disedia, diproses, dikilangkan atau disimpan dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari bahan-bahan najis mengikut hukum syarak.
(d) Apabila menyedia, memproses, mengilang atau menyimpan, ia tidaklah bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa bahan yang tidak memenuhi perenggan (a), (b) atau (c) atau apa-apa bahan yang dihukum sebagai najis mengikut syarak.
(e) Tidaklah, apabila digunakan dengan sengaja, boleh mendatangkan kesan-kesan yang boleh membahayakan.
Penutup
Kesimpulannya, menuntut ubat dan suplemen halal adalah hak setiap Muslim yang perlu dipertahankan.
Dengan bertanya, menyemak dan memilih produk bersijil, kita bukan sahaja menjaga kesihatan fizikal, malah memelihara keberkatan ibadah dan kehidupan.
PERTAHANKAN hak kita sebagai pesakit, pengguna dan orang Islam untuk mendapatkan ubat-ubatan serta suplemen halal.



