Pengenalan
Industri halal di Malaysia terus berkembang seiring dengan kesedaran umat Islam terhadap kepentingan mengkonsumsi makanan yang sah dan bersih.
Namun, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengusaha restoran berangkai mengenai keperluan sijil halal terutamanya melibatkan dapur berpusat.
Artikel ini akan mengupas dengan terperinci mengapa dapur berpusat wajib memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebelum premis-premis lain boleh memohon sijil yang sama.

TIDAK memadai hanya dapur berpusat atau central kitchen bagi restoran berangkai peroleh sijil halal, bahkan premis yang menyediakan perkhidmatan makanan itu juga perlu mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Begitulah luahan Pengarah UNITI Halal Centre (Uhac), Ustaz Muhamad Elyas Harun kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini ketika ditanya mengenai restoran berangkai yang belum mendapatkan sijil halal bagi keseluruhan premis mereka.
Memahami Konsep Dapur Berpusat dan Kepentingannya
Definisi dan Fungsi Dapur Berpusat
Mengulas mengenai dapur berpusat, beliau berkata, ia bermaksud tempat pemprosesan dan penyediaan makanan atau minuman halal untuk dibekal dan diedarkan kepada premis makanan seperti premis makanan berangkai atau trak makanan.

Kebiasaannya dapur berpusat ini akan menyediakan hidangan siap atau separa siap yang kemudiannya akan dihantar ke semua restoran mereka.
Apabila tiba di premis, staf akan menyediakan dan menghidangkan makanan tersebut kepada pelanggan.
Dapur berpusat diwujudkan bertujuan untuk menjaga rasa dan kualiti makanan yang dimasak sebelum dihidangkan kepada para pelanggan, jelasnya.
Tambahnya, kebiasaannya perkhidmatan trak makanan turut mempunyai dapur berpusat memandangkan kawasan yang terhad untuk mereka menyediakan keseluruhan makanan.
Artikel Berkaitan:
Perbezaan Restoran Berangkai dan Tanpa Dapur Berpusat
Restoran berangkai yang tidak mempunyai dapur berpusat, mereka hanya perlu memohon untuk mendapatkan sijil halal bagi premis tersebut.
Berbeza dengan restoran berangkai yang mempunyai dapur berpusat, mereka terlebih dahulu perlu memohon dan memperoleh SPHM sebelum memohon untuk premis lain yang mendapatkan makanan dari dapur berpusat itu.
Keperluan SPHM untuk Dapur Berpusat
Mengapa Dapur Berpusat Perlu Dapat Sijil Terlebih Dahulu
Selagi dapur berpusat ini tidak dapat SPHM, maka premis-premis lain juga tidak boleh memohonnya. Perlu diingatkan jika sijil halal dapur berpusat ditarik, maka keseluruhan sijil halal bagi premis restoran berangkai ini akan mendapat kesannya, hurainya.
Proses Permohonan Sijil Halal Dapur Berpusat
Mengulas mengenai proses permohonan sijil halal bagi dapur berpusat, ia sama seperti skim-skim yang lain iaitu perlu ada lesen daripada pihak berkuasa tempatan, sijil pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia, pekerja Muslim, sistem kawalan halal dalaman dan lain-lain lagi.
Penting untuk dapur berpusat mendapatkan sijil halal terlebih dahulu bagi menghilangkan syubhah sama ada ia halal atau sebaliknya.
Pengguna tidak tahu apa yang berlaku di dapur berpusat. Apakah ia bercampur dengan makanan yang tidak halal atau penggunaan bahan-bahan yang tidak halal dan sebagainya.
Jadi, untuk menghilangkan syubhah itu, dapur berpusat terlebih dahulu perlu ada SPHM.
Salah jika premis lain pamer sijil halal dapur berpusat
Meneruskan hujahnya, sesuatu restoran tidak boleh mempamerkan logo halal dapur berpusat di premisnya melainkan premis tersebut memohon sijil halal untuk dipamerkan di premisnya.
Salah dari segi Akta Perihal Dagangan 2011 sesebuah restoran mempamerkan sijil halal dapur berpusatnya di premis kerana ia boleh mengelirukan pengguna dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sijil dapur berpusat hanya untuk dapur, begitu juga sijil halal bagi premis, hanya untuk premis tersebut sahaja,” ujarnya.
Cabaran Dalam Memperoleh Sijil Halal
Mengulas mengenai cabaran yang sering dihadapi pengusaha, Ustaz Muhamad Elyas yang berkecimpung dalam bidang industri halal ini sejak 17 tahun lalu berkata, antaranya mengenai proses yang memakan masa untuk memperoleh sijil halal.

Sebagai contoh, sebelum sesebuah premis restoran berangkai mendapatkan sijil halal, pengusaha perlu memohon untuk dapur berpusat terlebih dahulu.
Jadi, mereka merasakan itu menyusahkan dan mengambil masa yang panjang.
Antara lain adalah isu bahan-bahan. Walaupun kecil seperti garam, gula, kulit kayu manis, pes dan sebagainya, ia perlu mempunyai sijil halalnya sendiri.
Begitu juga bahan-bahan import, ada daripadanya tidak mempunyai sijil halal dan ia cabaran buat pengusaha untuk mencari bahan alternatif yang mempunyai sijil halal.
Manfaat Sijil Halal : Akses Pasaran Lebih Luas
Bercerita mengenai tahap kesedaran makanan halal, Ustaz Muhamad Elyas memberitahu, sesetangah bukan Islam tidak mengetahui bahawa agama Islam sangat menjaga penganutnya.
Kesedaran Masyarakat Terhadap Makanan Halal
Tahap Kesedaran Semasa Dalam Kalangan Bukan Islam
Mereka tidak tahu kalau Muslim makan makanan haram, dia akan masuk neraka. Ia perkara sensitif dan ramai non-Muslim tidak mengerti.
Kesedaran ini masih rendah, maka sebab itu muncul pelbagai perkara yang sering menyentuh sensitiviti itu, ujarnya.
Jelasnya, jika semua pihak menyedari perkara itu, barulah mereka akan mengerti betapa pentingnya sijil halal buat masyarakat Islam.

Berkaitan pasaran dalam industri halal pula, beliau menjelaskan, pengusaha yang berjaya mendapatkan sijil halal mempunyai akses kepada pasaran yang lebih besar.
“Walaupun seseorang pengusaha hanya menjual air, namun jika air yang dijualnya mempunyai sijil halal, ia satu nilai tambah kepada produk dan pasaran luas untuk pengusaha lain mendapatkan air halal daripadanya.
Begitu juga dengan polisi kerajaan yang mahukan pembekal halal, sekiranya pengusaha tidak mempunyai sijil halal, maka terlepaslah peluang yang besar ini, ujarnya.
Kepentingan Memilih Produk dan Restoran Bersijil Halal
- Utamakan Produk/Restoran Bersijil Halal
Apabila berlaku keraguan atau kekeliruan mengenai status halal sesuatu premis atau produk, umat Islam digalakkan untuk memilih yang mempunyai sijil halal yang sah berbanding hanya bergantung kepada slogan seperti “No pork, no lard” atau “Muslim friendly”. - Logo Halal Menjamin Proses Audit
Kehadiran logo halal bukan sekadar simbol — ia menunjukkan bahawa produk atau restoran tersebut telah melalui proses pemeriksaan dan audit oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi memastikan pematuhan syariah dan tahap kebersihan yang ditetapkan. - Tanggungjawab Individu dalam Memilih Makanan Halal
Sebagai Muslim, kita mempunyai tanggungjawab peribadi untuk memastikan apa yang dikonsumsi adalah halal lagi baik. Memilih produk bersijil halal adalah satu langkah proaktif dalam menjaga kepatuhan agama dan kesihatan diri serta keluarga.
Penutup
Dapur berpusat wajib mempunyai SPHM sebelum premis restoran berangkai lain boleh memohon sijil halal. Pengusaha dilarang mempamerkan sijil dapur berpusat di premis lain bagi mengelak kekeliruan dan tindakan undang-undang.
Utamakan sentiasa produk dan restoran bersijil halal sah bagi memastikan makanan yang dikonsumsi benar-benar halal dan bersih.
Sumber: Sinar Harian



