Baru-baru ini tular isu sandwich yang dikatakan mengelirukan kerana menggunakan nama “ham” serta mempunyai logo halal Malaysia, dijual di sebuah IPT yang ramai pelajar dari kalangan Muslim.
Setelah pemantauan dilaksanakan KPDN & JAKIM, didapati produk tersebut menggunakan logo halal tanpa kebenaran (tanpa sijil halal yang sah).
Pihak syarikat menyatakan yang mereka “menggunakan bahan yang mempunyai sijil halal”.
Oleh kerana ramai yang menghubungi saya bertanyakan pandangan saya tentang isu tersebut, disini saya kongsikan beberapa perkara penting sebagai panduan kepada semua peniaga/usahawan:
1. Menggunakan logo Halal Malaysia tanpa sijil Halal yang sah adalah SALAH disisi undang-undang dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga 5 juta ringgit Malaysia.
2. Menggunakan logo Halal atau apa-apa perkataan/ungkapan berkaitan Halal atau berkaitan agama Islam pada produk atau restoran TANPA Sijil Halal yang sah, juga dikira SALAH disisi undang-undang. Contoh ungkapan yang dilarang: “Muslim Friendly”, “Ditanggung Halal”, “Buffet Ramadhan”, “Halal”, “ramuan dari sumber halal”, “makanan dari dapur Halal” dan lain-lain.
3. Apabila mohon sijil Halal, nama-nama yang sinonim dengan makanan yang Haram adalah tidak dibenarkan digunakan seperti yang terdapat dalam Shariah. Contoh nama-nama yang tidak dibenarkan: Ham, Bak Kut Teh, Bacon, Chee Cheong Fun, beer/bir, dog, nama-nama Allah, nama-nama dewa dan lain-lain yang mengelirukan atau memberi implikasi negatif kepada sijil halal, agama atau sosial.
Di Malaysia, kita mempunyai ramai pengguna Muslim. Bagi menjaga pengguna, Akta Perihal Dagangan mempunyai perintah-perintah tertentu berkaitan Halal. Apa-apa yang boleh mengelirukan pengguna Muslim dengan apa jua cara termasuk penggunaan Ayat Al-Quran, gambar Masjid dan lain-lain seperti diatas boleh di ambil tindakan, jika sabit kesalahan.
Kepada pihak syarikat/usahawan, mohonlah sijil Halal. Fi permohonan halal adalah bermula RM100 setahun bagi satu permohonan.
Kepada pengguna, anda boleh sentiasa semak status halal mana-mana produk atau syarikat melalui direktori halal:
https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php
Terima kasih kepada semua pengguna prihatin, juga kepada pihak Bahagian Hab Halal, JAKIMKPDN Laman Rasmi yang sentiasa memantau produk dan makanan Halal di pasaran.
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah, 168).
M. ELYAS HARUN
President Interim,
Persatuan Rakan Stratergik MIHA
16 Januari 2025