Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dan semakan status halal produk luar negara dengan kos RM3.4 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

“Contohnya melalui MyIHAB, Jakim dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara yang diiktiraf oleh Jakim.
“InsyaAllah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 dan melancarkan Pelaksanaan dan Pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 secara maya, hari ini.
Menurutnya, selain itu, Jakim juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.
“Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada Jakim.
“Pada masa sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera melalui program bimbingan dengan membabitkan beberapa kementerian berkaitan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, industri halal Malaysia menjadi sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara sehingga mampu menembusi pasaran halal antarabangsa.
“Ekonomi halal global dilaporkan akan meningkat kepada RM10 trilion menjelang 2024, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri melaporkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada 2025. Pada 2020 saja, industri halal menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada KDNK negara,” katanya.
Menurutnya, langkah itu menunjukkan industri halal berpotensi menjana ekonomi negara kerana populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada 2030.
“Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga boleh mencecah AS$680 bilion (RM2.8 trilion) setahun.
Baca lanjut: KENYATAAN MEDIA JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN PELAKSANAAN MyHALALINGREDIENTS
“Sehubungan itu, melihat kepada potensi besar industri halal ini, saya menyeru supaya semua agensi, kementerian yang berkaitan dan pemain industri berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Oktober tahun lalu berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065 menjadikan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.
“Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada Jakim.
Baca Lanjut: Ringkasan Taklimat MyHALALINGREDIENTS oleh JAKIM
“Akreditasi ini memberikan impak bukan saja kepada produk yang dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik,” katanya.
Menurutnya, pada Disember lalu, negara digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import yang diimport dari beberapa negara luar.
“Isu ini membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia,” katanya.
Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 10:52am
Sumber: HMETRO




